Thursday, November 25, 2010

Bisikan Kalbu menerjah jiwa...



Di saat ku kesah... Kau selalu ada buat ku...
di saat ku riang..... Kau juga sering memerhatikan ku..
di saat ku lapang..... Kau sentiasa mengingati ku....

malah Kau sering memperhatikan gerak geri ku...
baik ku sedang lapang atau sempit...
Kau tak pernah membiarkan ku sendirian
walau sesaat... Kau selalu ada buat ku...

hayat ku putus tanpaMu...
hayatku hanyut.... kehilanganMu...
hayatku miring ketiadaanMu...

di kala ku kesepian... surat cintaMu....
penyeri jiwa.....

Kau lah Cinta Agung.....

Maha segalanya...

ku rindu cintaMu.....

~ Hamba Kerdil~


Wednesday, September 22, 2010

Tuesday, July 27, 2010

Mudahnya mengeluh.. syukarnya bersyukur...

Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya” (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: “Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit” Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?” Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf ayat 10 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur” Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah” jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu

SubhanaLlah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin…

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

Cita-cita

Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Semua kerjaya tersebut mempunyai kemahiran, perolehan dan kedudukan yang berbeza, tetapi semuanya dipandang tinggi di mata masyarakat. Sejauh manakah cita-cita aku? Hmmm... aku sendiri tidak pasti. Yang sebenarnya, cita-cita bukanlah keutamaan buat aku untuk waktu sekarang. Aku jarang memikirkan tentang masa depan, tentang apa yang aku ingin buat apabila menamatkan pengajian atau kehidupan yang bagaimana aku ingin pilih apabila terpaksa berdikari suatu hari nanti.

Sebenarnya... dahulu, aku bukan seperti sekarang.Sewaktu aku kecil dan hati masih seperti buku yang baru, aku suka memegang sebatang pensil dan melukis di atas segala jenis kertas. Ketika itu, aku tidak tahu apa yang aku lukis dan mengapa aku suka melakukannya. Sehingga munculnya hobi popular di kalangan kanak-kanak ketika itu iaitu membaca buku komik berasal dari Hong Kong yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Ketika itu, aku sedar minatku untuk melukis semakin bertambah.

Daripada ilustrasi buku komik itulah, aku mendapat ilham untuk melukis dan setiap lukisan itu tidak lagi hanya lukisan kosong. Sebaliknya, ianya terhasil daripada imaginasi aku dan aku sedar ianya tiada bersempadan. Aku dapat rasakan aku mampu mengolah segalanya mengikut apa yang aku mahu, dan aku akan luahkannya di dalam lukisan. Aku mengaku lukisan aku tidaklah secantik hasil lukisan buku komik Hong Kong itu, tetapi cukuplah sekiranya aku sendiri puas hati.

Kemudian, suatu hari guru aku bertanyakan tentang cita-cita dan setiap orang harus memberitahu apakah yang ingin mereka ini jadi apabila dewasa kelak. Ketika itu aku sendiri tidak pasti, apakah cita-cita yang dimaksudkan oleh guru itu. Adakah cukup syarat cita-cita itu sekiranya aku hanya ingin menjadi seorang pelukis komik?...
Tidak lama kemudian baru aku sedar, cita-cita bukanlah berdasarkan pada apa yang kita minat semata-mata, tetapi juga mampu menanggung kehidupan kita pada masa hadapan. Itulah cita-cita. Mengubah diri manusia daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik.

Setelah itu, hanya satu cita-cita sahaja yang aku bermain dalam fikiran aku... iaitu ingin menjadi seorang arkitek.Hmmm... ya, pelukis komik juga mampu membuat duit, tetapi ketika itu aku sedar aku ingin lebih daripada itu. Aku inginkan kerjaya professional yang tidak hanya membuat duit, tetapi mempunyai teknikal dan kemahiran yang tidak datang pada bakat semata, tetapi melalui pembelajaran.

Dan arkitek bukan sahaja memenuhi ciri-ciri itu, malah kerjaya itu mempunyai tradisinya yang tersendiri. Ketika itulah, minat aku daripada lukisan komik beralih pula kepada lukisan berbentuk isometrik dan bergeometri seperti bangunan, kereta dan sebagainya.Aku mulai sedar, lukisan tidak hanya boleh diluahkan dalam bentuk komik, tetapi juga dalam ruang yang lebih besar daripada kotak-kotak itu.

Selepas meningkat usia remaja, cita-cita tidak lagi menjadi persoalan di kalangan guru-guru. Ketika ini, tugas guru-guru hanya memastikan kita mengikut arah yang betul untuk menjadi warganegara yang berguna. Aku tidak lagi mendengar kata-kata semangat tentang cita-cita. Sebaliknya kata guru, kehidupan sekarang lebih daripada menjadi seorang doktor atau jurutera.

Kita tidak harus bersedih sekiranya tak dapat mencapai cita-cita itu kerana peluang pekerjaan semakin pelbagai dan mungkin terdapat jalan lain yang sesuai dengan kita. Ketika itulah, tangan aku semakin banyak digunakan untuk menulis nota-nota dan kerja rumah, dan semakin jarang digunakan untuk melukis. Aku semakin melupakannya secara perlahan-lahan, lupakan kertas lukisan dan cita-cita aku sewaktu kecil. Sehinggalah tanpa aku sedari, tangan aku sudah tidak melukis lagi. Tidak untuk waktu yang cukup lama...Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Namun, cita-cita aku tidak sejauh itu, mungkin aku harus berhenti disini.