Saturday, June 25, 2011

~Meningkat Usia.. menghampiri Kematian~


~Bertambah Saja Usia Kita Berarti Kita semakin dekat Menghampiri Alam Barzah~


Sebenarnya apabila kita bangkit saja daripada tidur dipagi hari untuk mengerjakan solah subuh, sebenarnya itu tandanya usia kita telah meningkat.Meningkat menghampiri kematian dan menuju ke alam Barzakh. Alangkah bahagiannya sekiranya bertambah saja usia kita maka bertambah pula amal soleh, amal ibadah dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Alangkah ruginya kita jika yang bertambah itu adalah dosa, kemugkaran, maksiat dan kerja-kerja yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T..

sahabat,

Setiap tahun apabila sampai sahaja hari lahir, kita menyambutnya tanda kesyukuran kerana masih dipanjangkan usia, dibuatlah juadah atau jamuan untuk meraikan dan datanglah ucapan-ucapan tahniah dari suami atau isteri, anak-anak dan rakan-rakan, biasanya diucap ‘selamat’ itu sebenarnya ‘bertambah kurang’. Seeloknya di samping bergembira, jangan lupa aspek manfaat dan kualiti amal yang kita lakukan perlu seiring dengan pertambahan usia kita. Hal ini sangat penting kerana di akhirat nanti, setiap individu akan di pertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t.

Sebagaimana di dalam hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”

(Hadis Riwayat Tarmizi).

Dalam hidup manusia terdapat tonggak umur yang sangat penting, antaranya umur 40 tahun sebagaimana tertera dalam al-Quran firman Allah s.w.t. yang bermaksud :


"Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdo'alah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan ni'matmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."

(Surah Al-Ahqaf Ayat 15)

Nabi Muhammad S.A.W. dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’."

Dalam riwayat lain, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada keburukkannya, hendaklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke Neraka.’’ Daripada dua hadis berkenaan, Nabi S.A.W. menganjurkan umatnya untuk memeriksa amal perbuatannya setiap kali menyedari umurnya kian bertambah. Umur aset yang akan dipertanggungjawabkan.

Kita pasti akan beruntung atau rugi dengan umur panjang kita. Semuanya bergantung pada amal yang kita lakukan. Rasulullah s.a.w menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya."

Sehubungan itu, kita perlu menggunakan sisa umur yang masih diberikan ini dengan amalan yang baik khasnya bagi mencapai ‘Husnul Khatimah’ iaitu penghabisan umur yang baik. Mereka yang tidak menggunakan usianya dengan sebaiknya berada dalam kerugian dunia dan akhirat. Hidup hanya sekali kerana peluang tidak datang berkali-kali. Hanya mereka yang terpimpin dengan al-Quran dan sunnah Nabi yang akan sentiasa berwaspada terhadap peringatan Allah S.W.T.. Dalam surah al-’Asr yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar“.

Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”.

Seorang lagi alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi terkejut yang bertanya, kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu, katanya aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari.


Sayyidina Ali r.a berkata :

"Sesungguhnya dunia ini telah berangkat pergi dan akhirat itu berangkat datang. Bagi tiap-tiap satu ada putera masing-masing. Maka jadikan dirimu putera akhirat dan bukan putera dunia. Hari ini hari 'amal tiada hisab, dan di akhirat hari hisab tiada 'amal."

Beramal dan berjihadlah untuk hari akhirat kita. Umur kita adalah singkat. Mungkin esok atau lusa kita akan berada di liang lahat.

Fudail rahimahullah telah bertanya kepada seorang lelaki, " Berapakah umur engkau sekarang?"Jawab lelaki itu, "Sudah enam puluh tahun."Jawab Fudail, "Agak panjang umur engkau, engkau ini dalam perjalanan untuk menjumpai Tuhanmu dan sudah hampir tiba waktunya."Kata Fudail lagi, "Barangsiapa tahu behawa dia adalah hamba Allah, akan kembali kepada Allah, akan menghadap Allah dan akan di soal oleh Allah, maka dia hendaklah menyediakan jawapan-jawapan tersebut."Tanya lelaki tadi, "Bagaimana melakukan yang demikian?"Jawab Fudail, " Engkau berusaha membaiki baki umurmu dan bertaubat pada jalan Allah, nescaya Allah akan berikan pengampunan. Tetapi kiranya engkau engkar kepada Allah, maka engkau akan di siksa atas segala kesalahanmu yang telah lalu dan akan datang.. Amalan itu perlu dijaga waktunya. Jangan engkau abaikan dengan sia-sia dan hendaklah dipenuhi dengan kerja-kerja yang berguna."

Kita perlu menjaga setiap detik kehidupan kita supaya kita menjadi hamba kepada akhirat. Hidup kita sentiasa terkawal dengan ajaran Allah s.w.t.

Sayyidina Umar r.a. pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud :

"Wahai Tuhanku, peliharalah aku dengan Islam sewaktu aku berdiri, peliharalah aku dengan Islam waktu aku duduk, peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur. Janganlah Engkau biarkan terhadap diriku musuh dan orang-orang yang dengki terhadap diriku"


Sahabat yang dimuliakan,

Imam Ali Zainal Abidin menjelaskan faktor-faktor yang dapat mengurangi umur manusia. Dia mengatakan: “Dosa-dosa yang dapat mempercepat datangnya ajal ialah memutuskan silaturahim, sumpah palsu, ucapan bohong, zina, menutup jalan orang mukmin, dan mengakui kepemimpinan yang tidak hak.” ((Maanil Akhbar, hlm. 271))

Alangkah banyaknya orang-orang yang panjang umurnya, hidup dalam kebaikan dan kebahagiaan akibat silaturahim yang dia lakukan. Dan alangkah banyak orang yang menempuh kesengsaraan hidupnya akibat memutuskan tali silaturahim. (naudzubillahmandzolik) Nash-nash agama dan riwayat banyak sekali yang menegaskan mengenai perkara tersebut. Kita sebutkan di sini sebagian saja.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya ada orang yang menjalin silaturrahmi, yang sisa umurnya tinggal tiga tahun, kemudian Allah menambah umurnya menjadi tiga puluh tahu. Dan ada orang yang memutuskan silaturrahmi, yang sisa umurnya masih tiga puluh tahun, kemudian Allah menjadikan umurnya tiga tahun. Kemudian beliau membacakan firman Allah swt: ‘Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nyalah terdapat Ummul Kitab’.” Ar-Ra’d/13: 39. (Safinah Al-Bihar 1: 514).

Rasulullah saw. bersabda: ‘Silaturahim mempermudah hisab dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.”‘Saydina Ali bin Abi Thalib k.w berkata: “Sesungguhnya sumpah palsu, dan memutuskan tali silaturahim mengakibatkan rumah,rumah ditinggalkan oleh penghuninya.”Beliau juga mengatakan: “Aku berlindung kepada Allah dari dosa-dosa yang mempercepat kebinasaan.”Lalu ada salah seorang yang berdiri sambil bertanya: “Wahai Ali, adakah dosa yang dapat mempercepat kebinasaan?”Beliau menjawab: “Ya, celaka engkau, memutuskan tali silaturahim.”(naudzubillah man dzolik)


.:Alhamdulillah keranaNya saya masih terus boleh bernafas hari ni….. meningkatnya usia Menghampiri kematian....dan menanti panggilanNya…. Kepada sahabat-sahabat…. Di jalanNya ku pohon kemaafan atas khilafku. Kalau ada yang tersilap kata, tingkah laku, terkasar bahasa dengan kalian semua….dan jazakillah khair pada sahabat-sahabat seperjuangan saya Kak Nur, Kak Long, Ara, T’ah,Anim, dek Sarah…. Syukron khosiron… pada semunya syukron khosiron... masih banyak lagi yang saya perlu pelajari dalam pengembaraan hidup ini... banyak kurangnya.... dengan adanya kalian... ku banyak pelajari seribu satu perkara... yang banyak mengajar mengenaliNya... subhannallah.... Kalian banyak membantuku dalam mengharungi hidup ini.... Sepanjang berada di madrsah tarbiyah ni. Allah uji kita berbagai macam ujian subhannallah, sekaligus dalam mengharungi liku2 kehidupan yang serba mencabar ini, ku pohon moga Allah sentiasa eratkan ikatan ukhuwah kita. dan moga kita terus tsabat di jalanNya. .:


Azan ashar mengalun

Mengantar langkah

Berjalan menghitung nafas

Dan makna sebuah perhelatan

Dalam matematika amal kehidupan

Gerimis basah

Daun-daun basah

Tanah basah

Tapi langit cerah

Mengantar ajal

Menengok kubur sendiri

Bukan hitungan angka

Pandangan kasat mata

Tapi sebuah sumur hikmah

Dalam tak tergali

Umur bertambah usia berkurang

Sebuah perjalanan jiwa

Pandangan semesta

Muhasabah yang belum selesai

Ya Allah…

Bimbing aku meniti takdir-Mu

Jalan-Mu

Cahya-Mu

Ahir tujuan

Sebuah keabadian

Sebuah kesenangan

Kesenangan yang abadi

Ya Roob

Aamin

Aamin ya Robbi…!

(Syukron ya Allah

atas anugerah yang melimpah

atas nikmat yang meruah

meski syukur begitu lemah

beri hamba kekuatan

melawan diriku

jiwa yang beku

untuk terus melangkah

untuk sampai di pelataran ridho-Mu

untuk masuk ke dekapan cinta-Mu

pada-Mu ya Rabb

untuk-Mu…)



Ingatan diri dan sahabat2 semoga dengan baki umur kita yang masih tinggal ini untuk mempertigkatkan amal soleh, amal ibadah dan kerja-kerja dakwah dan kebajikan, jadikan setiap saat berlalunya masa di isi dengan pahala dan menghampirikan diri dengan Allah S.W.T.

insyaAllah…..

No comments:

Post a Comment